* * * * * * * *
Kurang lebih dua tahun yang lalu, aku diberi kesempatan dan peluang untuk menjadi warga pendidik. Meskipun hanyalah sekadar guru sandaran, tapi aku tetap gembira. Ya. Gembira. Pernah suatu ketika ayahku menyatakan hasrat untuk melihat salah seorang dari kami menjadi warga pendidik. Sedari itu, itulah azam yang aku pegang sehingga suatu saat yang di mana aku belajar bahawa aturan yang Esa itulah yang paling terbaik. Bahkan, aku sendiri pernah menghadiri sesi interview untuk menempatkan diri ke IPG kurang lebih 3 tahun dahulu. Namun, laluan itu bukanlah jalan ku.
Bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal, usai sahaja final exam untuk pelajar asasi, umi khabarkan bahawa dia telah pun mengisi borang untuk aku menjadi guru sandaran. Dan yang lebih menariknya, aku bukanlah ditempatkan berhampiran rumah sendiri. Aku tercampak ke kawasan luar bandar di mana line internetnya pada ketika itu hanyalah 'G'.
Di situlah tempat aku mula belajar perkara itu dan ini. Sejujurnya, pada awalnya aku sukakan jawatan sebagai guru sandaran. Tapi bila mengenangkan tempat tercampak tu.... Hmm. Tiga empat kali jugak aku fikir. And finally I decided untuk pergi jugak.
Apa yang menarik, sekolah tersebut terdiri dari golongan melayu, cina dan orang asli. So it's quite interesting sebab boleh tahu sikit sikit pasal orang asli. Hehe. Keadaan sekolahnya, sejujurnya tidak daif. Tiada apa yang kurang. Sama seperti sekolah sekolah di bandar.
Namun, yang bezanya, semangat di sini tak sama dengan semangat orang di bandar. Hari pertama aku menjejakkan aku, perasaaanku sedikit bercelaru. Aku gusar, aku takut. Untung ada ibu masa tu. Hehe. (Ibu ni actually kawan umi yang one of cikgu la kat sini). Ibu la yang selalu betulkan salah silap Sya masa tu. Hihi.
Hari demi hari, aku mula menyesuaikan diri. Ada perkara yang buat aku tersentuh, ada perkara yang buat aku merenung insafi diri.
Pernah sekali, ketika itu hujan agak lebat dan guruh turut berdendum. Aku lihat salah seorang pelajarku masam mencuka. Aku lihat tika itu, dia berkasut tapi tidak berstokin. Jam ketika itu, menunjukkan jam 6.45 pagi. Aku biarkan dia berlalu tanpa bertanya sepatah pun. Seperti biasa aku akan menyusun buku buku di atas meja dan kemudiannya bersiap sedia untuk majlis perhimpunan. Dalam 20 minit, selepas itu, aku lihat ada seorang wanita datang menghampiriku. Pakaiannya lusuh, nafasnya tercungap cungap, matanya meliar mencari sesuatu.
"Assalamualaikum cikgu, cikgu tahu di mana kelas 1 Harmoni?
" Waalaikummussalam. Ye, saya tahu. Kenapa ye kak?"
" Begini, pagi tadi sebelum saya hantar anak saya ke sekolah, kami agak tergesa-gesa. Dan saya lupa nak beri dia duit belanja. Boleh cikgu berikan ini pada anak saya?"
Wanita itu menghulurkan wang satu ringgit dan diberikan lembut kepadaku.
" Cikgu tlg beri pada anak saya ye. Namanya muhammad masrul".
Wanita itu menggengam tanganku. Dan seusai itu, dia berlalu selepas mengucapkan terima kasih. Kebetulannya, pada hari itu, pada waktu pertama itu, adalah masa subjek yang aku ditugaskan untuk mengajar. Selepas siap melengkap buku rekod kehadiran dan buku rekod mengajar, aku cepat cepat naik ke kelas pelajar tersebut. Aku lihat ketika itu, dia sudah pun berstokin.
Aku menghampirinya, dan bertanyakan keadaan yang sebenar. Allahu, rupa-rupanya wanita tadi sudah pun naik ke kelas ini untuk memberikan wang saku kepada pelajar tersebut. Namun, ditolak kerana pelajar tersebut malu diejek rakan rakannya kerana ibunya hanyalah seorang tukang sapu. Dia malu. Aku terdiam. Aku menyeka air mata. Sungguh aku tak sangka, bahawa dia menolak pemberian RM 1 tersebut kerana malu dilihat oleh kawan-kawannya. Aku seolah tak percaya. Kerana semua ini umpama drama yang aku sangka tak kan jadi kenyataan. Ya Allah, kalau lah generasi ini sudah pun kita ajar untuk membandingkan antara pangkat dan harta, maka apa yang akan jadi pada masa hadapan? Perasaanku sedikit bercampur. Kerna aku percaya takkan ada satu jumlah atau apa apa pun yang boleh mengatasi kasih dan sayang seorang itu. Tika itu, aku merenung jauh memikirkan umi. Sob sob. (Balik je dari mengajar, terus call sebab rinduuu. Huhu.)
Itu perkara pertama. Yang kedua, aku dapat lihat semangat yang ada pada pelajar pelajar di sekolah itu. Ya, mereka bukanlah pelajar pintar, tapi mereka punya semangat juang yang tinggi. Tapi ada jugak yang sekadar wujud fizikalnya di kelas, tapi mentally nya entah ke mana. Mungkin terawangan di langit biru. Ye lah, tak semua pelajar yang dtg ke sekolah sebab mereka betul betul nak belajar. Pernah aku marahkan seorang pelajar, yang hanya wujud di kelas, buat bising sana sini, keluar kelas sesuka hati atau senang cerita dia bukan datang sekolah sebab nak belajar. Tapi untuk larikan diri dari rumah, ada yang tak tahan kerana ibu bapa mereka bergaduh, ada juga yang sekadar wujud kerana inginkan wang biasiswa, ada juga yang sekadar wujud hanya sekadar nak melepak atau bersosial dengan kawan kawan. Dan golongan inilah buat kepalaku berpusing 360 degree, buat BP ku naik tak henti henti. Mereka bagaikan terlalu tiada motivasi sehinggakan kau kata apa pun, mereka tetap begitu. Ada juga yang kata:
'Alah teacher, apa yang teacher cakap ni la yang kitaorang dengar dari pagi sampai balik nanti. Kami dah lali dah teacher. Kata la nak kata apa pun'
Gulp! Amboi. Sampai tahap macam tu dia punya kebal. Macam macam aku cuba buat untuk tarik minat mereka, namun mungkin usaha ku masih belum cukup. Kalau di renung lama lama, kita akan lihat bahawa mereka sebenarnya tidaklah seteruk itu. Nakal macam mana pun, malas macam mana pun nanti lama lama dia akan dengar jugak apa yang korang pok pek kat depan. Ada juga yang punya semangat untuk belajar, tapi tak punya siapa untuk dirujuk. Majoriti mereka yang berada di kelas belakang, kebanyakannya terdiri daripada golongan pelajar asli dan pelajar melayu yang kalau kita siasat mereka bukanlah terdiri dari keluarga yang macam kita. Bagi mereka, wang itu segalanya. Ada antara mereka, yang tak hadir ke sekolah sebab nak bekerja. Nak tolong mak ayah. Allahu, untungnya kita yang boleh pergi sekolah tanpa nak fikir susah nak kena cari duit untuk makan semua. Allahu, untungnya kita yang punya keluarga dan tak porak peranda seperti mereka. Allahu, untungnya kita Allah bagi kita kekuatan, Allah bagi kita motivasi untuk kuatkan diri menuntut ilmu.
Itu cerita mereka yang tak nak belajar. Ada juga golongan yang memang kita tengok dia work hard, homework semua complete, effort semua ada tapi still bkn di kalangan pelajar yang cemerlang. Pernah sekali, aku tanya pelajar pelajar ini, apa kesukaran mereka sebenarnya? Lalu, diberitahu mereka hanya mampu menulis apa yang mereka tahu. Bukan kerana mereka malas merujuk. Tetapi kerana mereka tak punya cukup wang untuk beli segala keperluan mereka. Mereka tak cukup wang untul beli kamus untuk dijadikan bahan rujukan. Bukan kerana mereka malas. Allahu, untungnya kita yang hari ni punya duit yang cukup, mampu untuk beli apa sahaja yang kita mahu. Mereka benar benar beri aku kekuatan baru. Mereka ajarkan aku untuk terus berusaha walau apa yang berlaku. Mereka berikan aku kekuatan untuk sentiasa berjuang meskipun keadaan tak memihak pada kita.
Bila tiba hari laporan prestasi pelajar, aku pasti merenung panjang. Bukan kerana keputusan mereka yang teruk tapi kerana aku sedih melihat bangsa sendiri. Meskipun, majoriti pelajar di sini adalah pelajar Melayu, namun bukan mereka yang menjadi kebanggaan sekolah. (Dalam bidang akademik). Aku sedih bila mengenangkan pelajar pelajar daripada golongan orang asli yang menduduki takhta top 3 sedangkan anak melayu menurut di belakang mereka. Aku mula terfikir, kalau di tempat sebegini pun, bangsa ku mampu di kalahkan, apatah lagi di kawasan kawasan bandar.
Jujur aku katakan, aku juga bukanlah pelajar yang cemerlang. Bahkan aku pernah dipanggil 'bodoh' oleh guru guruku. Namun, tak sekali pun aku simpan dendam pada mereka. Kerana kata kata itu bagaikan satu cabaran bagiku, untuk buktikan aku bukan begitu. Namun, tak pernah ku sangka begitu mudah bangsaku dikalahkan.
Alangkah indah dan bangganya andai suatu saat nanti kitalah pemenang di negara sendiri. Pada saat dan tika ini, fikirlah kita hanya di mana?
Pengalaman yang aku pernah lalui sebagai warga pendidik takkan mampu terluah semuanya meskipun jutaan coretan yang aku karangkan. Tuhan beri aku kesempatan dan peluang untuk rasa pengalaman ni, meskipun aku tak diterima masuk ke IPG. Terima kasih Ibu sebab jaga Sya elok elok masa kat sana. Terima kasih Umi sebab bagi Sya rasa pengalaman jadi cikgu. Terima kasih students semua, yang buat teacher terharu masa last day teacher kat sana. Terima kasih sebab bagi nota nota yang menyentuh hati, terima kasih belikan hadiah dekat teacher sampai teacher tak cukup tangan nak bawa balik. Terima kasih bagi teddy bear dekat teacher untuk jadi peneman teacher sampai hari ni. Teacher takkan lupa awak semua.
Semua surat dan hadiah tu akan disimpan dan dijaga dengan baik. Andalah kenangan terbahagia yang pernah saya ada.
Lots of love,
Luwinna Qaisara
No comments:
Post a Comment